PENGENALAN
Salah satu cabang matematik ialah sukatan. Sukatan terbahagi kepada beberapa tajuk antaranya isipadu cecair, luas, ukuran panjang dan berat. Setiap sukatan ini diwakilkan oleh penggunaan terma-terma seperti liter, persegi, meter, sentimeter, gram dan kilogram. Setiap sukatan ini sangat penting dalam kehidupan seharian manusia dalam menentukan suatu sukatan yang tepat. Isipadu cecair misalnya digunakan untuk menyukat makanan, minuman dan barang-barang keperluan harian yang berbentuk cecair. Contoh makanan, minuman dan barang keperluan harian ialah susu pekat, kicap, kordial, air mineral, cecair pencuci, pelembut fabrik, syampu, minyak wangi dan lain-lain lagi. Setiap barangan ini perlu disukat dengan tepat sebelum dipasarkan kepada pelanggan.
KESALAHFAHAMAN KONSEP ISIPADU
Mempelajari isipadu cecair merupakan suatu tajuk yang sangat menarik untuk dipelajari oleh murid-murid. Namun bagi murid Tahun 2, ini adalah kali pertama mereka didedahkan dengan perkara ini. Beberapa kesalahfahaman tentang konsep isipadu akan berlaku di kalangan murid-murid antaranya yang paling kerap ialah mereka menganggap bahawa bekas air yang tinggi mengandungi air yang lebih banyak berbanding air yang berada di dalam bekas yang lebih pendek. Murid tidak akan mengambil kira besar suatu bekas itu tetapi membuat kesimpulan secara mudah melalui apa yang mereka lihat.
Maka dengan ini penting bagi seorang guru menunjukkan kepada murid-murid bahawa andaian yang mereka buat itu adalah salah. Untuk menerangkan perkara ini penggunaan bahan bantu mengajar memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu murid memahami bahawa isipadu dalam suatu bekas boleh jadi sama walaupun bekasnya berbeza dan boleh jadi tidak sama walaupun bekas-bekas yang digunakan mempunyai ketinggian yang sama. Cara yang paling berkesan ialah dengan menggunakan kaedah perbandingan langsung. Peralatan yang diperlukan untuk menjalankann perbandingan langsung ini ialah beberapa jenis bekas air berlainan saiz, air dan pasir. Kanak-kanak akan melihat sendiri bekas yang boleh mengisi air atau pasir yang lebih banyak dan sebaliknya melalui ujikaji yang dijalankannya sendiri.
VIDEO DARI INTERNET
Video ini menunjukkan cara yang betul untuk menyukat cecair menggunakan silinder penyukat. Di dalam video ini ditunjukkan pelbagai saiz silinder penyukat yang boleh digunakan untuk menyukat isipadu cecair bergantung kepada jumlah cecair yang ingin disukat. Penerangan yang diberikan adalah jelas dengan langkah-langkah yang betul serta menyisipkan beberapa tips penting seperti menyukat cecair hendaklah di atas permukaan yang rata. Bahasa yang digunakan dalam video ini mudah dan dapat difahami oleh murid Tahun 2. Secara keseluruhan, video ini dapat membantu murid-murid dalam menyukat isipadu cecair dengan betul.
BAHAN BANTU MENGAJAR
Bahan bantu mengajar sangat penting dalam mengajarkan konsep isipadu kepada murid-murid. Perkara asas dalam isipadu bagi mata pelajaran Matematik Tahun 2 ialah penuh, separuh penuh, kosong, lebih, kurang dan sama banyak. Setiap perkara ini perlu dijelaskan dengan bantuan bahan bantu mengajar yang merupakan bekas-bekas yang boleh diisikan dengan cecair. Bekas-bekas ini hendaklah terdiri daripada pelbagai saiz dan bentuk bagi membolehkan murid memahami bahawa bekas yang berbeza boleh menempatkan cecair yang sama banyak tidak bergantung kepada saiz bekas yang tinggi mengandungi lebih banyak air. Sesuai dengan murid Tahun 2 yang masih kecil, bahan bantu mengajar yang diperbuat daripada bahan plastik lebih sesuai digunakan. Ini bertujuan untuk mengelakkan sebarang kemalangan dan kecederaan sepanjang menjalankan aktiviti sekiranya menggunakan bahan yang diperbuat daripada kaca.
Bahan Bantu Mengajar Aktiviti 1
AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN UNTUK MURID ARAS TINGGI
Topik : Isipadu cecair
Hasil Pembelajaran :
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat
a) mengukur isipadu cecair menggunakan unit piawai iaitu liter
b) menganggar isipadu di dalam suatu bekas menggunakan unit liter
c) mencatat isipadu cecair yang disukat menggunakan unit liter
Pengetahuan Sedia Ada :
a) Murid sudah boleh mengenalpasti bekas cecair yang penuh, separuh penuh dan kosong
b) Murid sudah boleh membezakan bekas yang mengandungi air yang lebih dan yang kurang
c) Murid sudah didedahkan dengan unit piawai bagi isipadu iaitu liter
Bahan Bantu Mengajar :
Silinder penyukat 1 liter
Bekas 1 liter berisi air
Bekas 2 liter berisi air
Bekas 4 liter berisi air
Bekas 5 liter berisi air
Borang untuk merekod
Baldi
Baldi
Langkah-langkah pengajaran :
1. Murid dibahagikan kepada beberapa buah kumpulan. Setiap kumpulan dianggotai oleh 4 orang murid.
2. Setiap kumpulan diberikan set alatan berserta borang untuk mencatatkan bacaan anggaran dan bacaan sebenar.
3. Murid membincangkan sukatan anggaran bagi setiap bekas dan mencatatkannya.
4. Murid menyukat air yang terdapat dalam bekas menggunakan silinder penyukat. Air yang telah disukat dituangkan ke dalam baldi. Murid merekodkan dapatan bacaan sukatan berkenaan di dalam borang. Langkah diulangi sehingga semua bekas disukat airnya.
5. Guru meminta setiap kumpulan untuk membuat perbandingan antara anggaran dan sukatan sebenar yang telah dibuat.
6. Guru mengajukan beberapa soalan :
- Adakah anggaran kamu tepat dengan sukatan sebenar?
- Bekas manakah yang mengandungi isipadu 1 liter?
- Bekas manakah yang mengandungi isipadu 4 liter?
- Adakah bekas yang yang tinggi saiznya semestinya mempunyai isipadu yang paling banyak?
7. Guru membimbing murid membuat rumusan terhadap aktiviti yang telah dijalankan.
AKTIVITI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN UNTUK MURID ARAS RENDAH
Topik : Isipadu cecair
Hasil Pembelajaran :
Pada akhir pengajaran dan pembelajaran murid-murid dapat
a) mengukur isipadu cecair menggunakan unit piawai iaitu liter
b) menyatakan bahawa isipadu air boleh jadi sama walaupun berada dalam bekas yang berbeza bentuk dan saiz
Pengetahuan Sedia Ada :
Murid sudah diperkenalkan dengan silinder penyukat yang mempunyai isipadu 1 liter.
Bahan Bantu Mengajar :
Silinder penyukat 1 liter
Air
Bekas 1 liter berlainan bentuk dan saiz
Borang untuk merekod
Langkah-langkah pengajaran :
1. Murid diagihkan kepada beberapa buah kumpulan kecil. Setiap kumpulan dianggotai oleh 3 orang murid.
2. Setiap kumpulan dibekalkan dengan set alatan iaitu silinder penyukat, beberapa bekas berisi air yang berlainan saiz dan bentuk. Setiap satu mempunyai isipadu 1 liter.
3. Secara berkumpulan, murid menuang air yang terdapat di dalam bekas ke dalam silinder penyukat. Murid merekodkan jawapan mereka dalam borang yang disediakan.
4. Langkah diikuti dengan bekas-bekas yang lain.
5. Guru dan murid membincangkan jawapan bagi setiap bekas yang telah disukat airnya. Kumpulan yang dapat menjawab semua jawapan dengan betul diberikan peneguhan.
6. Guru membimbing murid membuat rumusan bahawa walaupun setiap bekas mempunyai ketinggian yang berbeza tetapi isipadunya adalah sama iaitu 1 liter.
KESIMPULAN
Isipadu cecair ialah salah satu tajuk dalam mata pelajaran Matematik Tahun 2 yang sangat menarik untuk dipelajari. Dengan menyedari murid seringkali silap membuat tanggapan bahawa bekas yang tinggi mempunyai isipadu yang lebih, seseorang guru matematik perlu kreatif dalam merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran supaya murid dapat memahami konsep isipadu cecair dengan tepat. Penggunaan bahan bantu mengajar sangat penting dalam memudahkan murid memahami konsep isipadu cecair. Kepelbagaian aktiviti yang berpusatkan murid juga merupakan salah cara melenyapkan kesalahfahaman murid tentang isipadu cecair.
BIBLIOGRAFI
Murugiah A/L Velayutham, Kao Thuan Keat (2007). Teaching Mathematics in Year Two. Selangor : Meteor Doc.
Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia (2003). Integrated Curriculum For Primary Schools : Curriculum Specifications Mathematics Year Two. Kuala Lumpur.
Lee Tak Sing, Lean Kee Fong & Azizah Binti Haji Tengah (2003). Integrated Curriculum for Primary Schools : KBSR Mathematics Year 2 (Textbook Part 2). Hypersurf Corporation Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
http://www.youtube.com/watch?v=iPkZlce84ag
http://www.angelfire.com/on2/Saifulazrulchelah/CARA_PEMBENTUKAN_MINAT_KEPADA_PELAJARAN_MATEMATIK.html
http://www.youtube.com/watch?v=Wl6VDFaNn10&feature=related
http://www.youtube.com/watch?v=IDYWetAUTIE&feature=related